Tuesday 15 May 2018

Kisah Bisnes : Ajaran Sesat Yang Tidak Terdaftar-daftar?


Ada sejenis wirid dan mantra dalam amalan kumpulan, puak, kultus tertentu. Yang dikesan diamalkan oleh mereka yang berada dalam sektor pengurusan organisasi. Asal wirid tersebut dalam bahasa inggeris adalah seperti ini; 

Rule Number 1, Boss is always right.
Rule Number 2, if the Boss is wrong see Rule Number 1.

Peraturan Nombor 1, Ketua adalah sentiasa betul.
Peraturan Nombor 2, jika Ketua tak betul 
sila rujuk Nombor 1. 

Terima kasih. 


Persoalannya, sejauh manakah ini benar? Sejauh manakah Boss is always right?

Isu ini mungkin sangat relevan dalam suasana ketika posting ini dibuat. Terdapat organisasi yang sudah jatuh dan barulah ada yang mengaku selama ini mereka dalam delusional dan tidak memberikan maklumat yang tepat kepada pembuat keputusan (Boss).

Ada pula ditanya kenapa terbabit dalam benda-benda yang songsang dan merugikan semasa dalam pengurusan terdahulu, dia atau mereka memberikan alasan adanya keperluan untuk taat dan patuh kepada Boss of the day. 

Apabila ditanya oleh Boss of the day yang baru, kenapa taat walaupun benda itu tidak betul? Barulah mereka sedar Boss of the day yang baru tidak satu aliran dengan mereka. Tidak mengamalkan wirid atau mantra yang sama. 

Kita lihat benarkah Boss is always right? 

Pada hukum akal, hakikatnya Boss atau Ketua itu boleh sahaja membuat silap atau salah dalam pandangan atau keputusan yang diambilnya. Keputusan yang diambil jika salah mempunyai potensi mendatangkan kerugian atau mudarat kepada team atau organisasi yang diwakilinya. 

Ahli team pula mungkin mempunyai maklumat yang tepat mengenai suatu perkara dan sangat penting dalam proses membuat keputusan. Sekiranya maklumat tersebut tidak didedahkan kepada ketua, ketua mungkin tidak tahu dan bakal membuat keputusan yang salah. 

Secara hakikatnya, Ketua yang sentiasa betul itu adalah mustahil. Kerana pernyataan ini menunjukkan keadaan Ketua itu tidak menerima ada kemungkinan melakukan kesilapan. Itu sendiri adalah mustahil pada hukum akal. 

Pendek kata ia bermaksud Ketua sentiasa betul dan bebas daripada kesilapan. Jika begitu, ia bermaksud wajib pada akal Boss itu sentiasa betul. 

Jika wajib pada akal Boss itu sentiasa betul dan suci dari kesalahan maka itu adalah satu sifat yang mutlak yang menjadikannya memiliki sifat-sifat mutlak yang lain secara lengkap.

Zat yang memiliki sifat-sifat mutlak ini adalah wajib pula kepada akal akan wujudnya. 

Kerana yang memiliki sifat-sifat mutlak itu hakikatnya hanyalah satu, esa dan tidak berbilang-bilang. Yang akhirnya kita faham Zat yang Esa ini wajib pula disembah.

Oleh kerana Boss itu tidak memiliki sifat wajib kewujudannya maka dia pun makhluk macam kita juga yang menerima sifat kekurangan dan kelemahan. Terimalah bahawa Boss is not always right. Kalau kita itulah Boss, maka kita bukan selalunya betul.

Bagaimana untuk menggantikan mantra atau wirid ini? 

Salah satu penyataan yang lebih tepat adalah Boss has the final say. Ketua mempunyai kuasa untuk memuktamadkan keputusan. 

Kerana kewujudan sesuatu team adalah untuk melaksanakan sesuatu urusan dan memastikan ia terlaksana. Ia memerlukan beberapa keputusan dibuat. Jika tidak ada keputusan yang muktamad bagi sesuatu perkara, maka kumpulan tidak dapat bergerak ke tahap yang seterusnya. 

Maka di situlah ahli kumpulan perlu patuh dan mengikut keputusan yang telah ditentukan oleh ketua. Walaupun pada ketika itu sebenarnya ada yang tidak setuju dan telah menyampaikan maklumat kepada ketua. Tetapi disebabkan berlainan pandangan, satu pandangan perlu diambil dan dimuktamadkan.

Boleh jadi pandangan yang muktamad itu bukanlah yang terbaik dan ini diketahui oleh salah seorang ahli team. Tetapi setelah melalui kaedah perbincangan secara kolektif sesama ahli dan diputuskan oleh ketua, ia sudah melalui satu kaedah yang benar.

Melalui kaedah syura atau perbincangan ini, ia memaksimumkan keberhasilan dan meminimumkan impak kesilapan.

Sebelum akhir kalam, seperkara lagi adalah walaupun Boss is not always right, ia tidaklah bermakna segala-galanya boleh dilakukan tanpa adab. Sudah tentu ada adab dia antara pemimpin dan pengikut. Adab-adab inilah yang perlu diamalkan oleh team. Ini adalah termasuk budaya yang berkualiti tinggi. 

Amalan budaya yang baik menjadikan team yang baik dan kuat. Team yang kuatlah yang berpotensi besar mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...