Sunday 23 August 2015

Psikologi makanan

"Sate Padang2" by Sakurai Midori - Wikipedia

Satu hari saya lihat seorang ni makan sesuatu yang saya ketahui dia tak menyukainya. Lalu saya pun bertanya. 

"Hai.. dulu tak suka makan pun". 
"Dulu kuah tom yam ni tak macam ni" Jawabnya.
"Sama aje, tak ada yang berubah pun" Balas saya.

Saya tahu tak ada yang berubah pun pada resepi tomyam yang terkenal itu. Kalau berubah sudah tentu pelanggan lain juga akan perasan. Sebenarnya yang berubah tu selera pemakanannya. Bukan rencah atau resepi tomyam itu.

Saya pun pernah mempunyai evolusi pemakanan sebegitu. Suatu hari kami singgah di gerai tepi jalan. Di situ tertulis menu sate padang.


Terasa pada waktu tu nak makan sate. Tapi siapa yang tak pernah makan sate padang ini sudah tentu tidak menjangkakan rasanya. Kerana ia bukan mempunyai rasa yang sejenis dengan sate kuah kacang biasa macam sate Samuri, sate Kajang yang terkenal itu.

Selepas menjamah sesuatu yang tidak dijangkakan itu, saya pun menghukum sate padang itu sebagai tidak sedap. 

Kemudian, saya berjalan pada satu hari dan terserempak dengan satu gerai yang menjual sate padang dengan ramai pelanggan. Saya melihat pelanggan-pelanggan itu makan dengan bersemangat dan seolah-olah hidangan itu sedap. Separuh daripadanya adalah orang-orang Indonesia (mungkin orang Minangkabau) dan separuh lagi adalah pelanggan tempatan.

Kebetulan saya ketika itu sangat lapar dan membuat keputusan untuk mencuba buat kali kedua. Dan kali kedua itu saya mendapati sate padang itu sebenarnya sedap.

Saya menyangka sebab utama yang menyebabkan saya rasa tak sedap pada awalnya ialah persepsi. Fikiran saya telah membentuk persepsi bahawa kuah sate yang saya akan rasa adalah kuah kacang yang manis. 

Tetapi sate padang tidak mempunyai kuah yang manis dan berkacang. Kuahnya seperti kuah sup yang likat. Saya fikir kalau seseorang itu berniat untuk menjamah satu hidangan seperti rasa sup yang hebat mungkin dia akan dapat memahami rasa sate padang pada kali pertama menjamahnya.

Ya, perlulah diingat, kuah sate padang ni dia likat dan pedas. Pada saya rasanya macam sup. Daging satenya pula tidak manis seperti sate kajang yang diperam gula. Ia adalah daging salai. Sekarang saya dah menyukainya dan akan membelinya kalau bertemu.

Saya pernah bertemu dengan sate padang di satu pasar pagi di tepi sungai Pahang di Temerloh. Saya juga mendengar pelanggan yang terdiri daripada orang tempatan Pahang ini berkata-kata "sate ni tak macam sate kita kan..".

Tetapi saya lihat mereka suka dengan sate padang itu dan gerai itu ada ramai pelanggan.

Pada saya makanan ini juga ada psikologinya. Psikologi macamana nak memakan makanan tu. Apa kata kalau anda pertama kali nak makan sate padang, anda berniat nak makan sup yang sedap?

Reference
"Sate Padang2" by Sakurai Midori - Own work. Licensed under CC BY 3.0 via Commons - 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...