Saturday 7 May 2016

Ku, Keropok Lekor dan Losong - featuring Ayam Penyet


Ku menjelajah segenap pelusuk negara untuk mencicipi keropok lekor. Ku sangat menggemari keropok lekor. Ku juga amat suka akan losong. Tetapi losong sukar didapati dan dikatakan perlukan ikan yang banyak bagi menghasilkan produk makanan ini. Oleh itu hanya tempat pendaratan ikan terbanyak sahajalah kononnya dapat menghasilkan produk losong.

Ku juga akan membeli losong apabila tiba di Terengganu, walaupun daerah yang ku pergi itu bukanlah daerah Losong, Terengganu. Ku pernah kecewa kerana ada produk losong sama sahaja macam keropok lekor. Baik beli keropok lekor.

Juga kadangkala, keropok lekor yang dicicip tidak mencapai kualiti yang ku kehendaki. Walaupun kecewa berkali-kali ku masih tidak pernah jemu mencuba keropok-keropok lekor yang ditemui. Ada yang sedap ada yang biasa-biasa, dan ada yang tak berbaloi langsung membelinya.

Ku membayangkan keropok lekor tidak semestinya datang daripada Terengganu walaupun ia berasal daripada sana. Kuantan juga ada keropok lekor, begitu juga Kota Bharu dan ada ku dengar di Johor pula ada yang dah buat keropok lekor. 

Sesiapa dan mana-mana tempat pun boleh menghasilkan produk keropok lekor malah losong. Hanya perlu ikan-ikan yang banyak dan kesanggupan melakukannya. Siapa yang sanggup meletakkan banyak ikan dalam ramuan keropok lekor pastilah dia dapat membuat satu produk keropok lekor yang sempurna. Yang terasa rasa ikannya, tak kedekut. Itulah yang ku teorikan.

Ku merasakan pembuat-pembuat keropok lekor ramai tak berani melakukan sedemikian kerana kos. Mungkin mereka target harga jualan yang murah dan produk dijual habis dengan cepat. Tetapi dimanakah untuk mencari produk keropok lekor yang premium? 

Yang penggemar keropok lekor sanggup membayar walaupun dengan harga yang sedikit mahal!!!

Perlukah ku menceburi bidang pembuatan keropok lekor semata-mata untuk melihat impian ku itu dimaterialiasasikan di hadapan mata?

Sehingga suatu hari, ku berjalan-jalan dan tibalah waktu makan. Ku  merasa lapar dan singgah ke restoran Ayam Penyet. Kelihatan pelayan-pelayan yang menyambutku berbicara dalam bahasa Melayu dialek Indonesia. Ku pun memesan makanan khas kegemaranku, Ayam Sambal Balado. Sudah tentu dengan nasi putih ya..

Itu sahaja? Tanya pelayan perempuan itu, "Tidak mahu tambah apa-apa?". Ku pun melihat "apa-apa" untuk ditambah. Keliatannya ga ada apa-apa untuk ditambahin.

"Keropok lekor?" tanyanya. Saolah-olah bisa membaca pikiranku ini menyukai keropok lekor dan ku pun kaget karna bisa temukan keropok lekor di Ayam Penyet! Dibilangnya keropok lekor asli Terengganu! Rupanya memang ada didalam menu!

Kerana kecintaan ku terhadap keropok lekor bukanlah cinta yang palsu, ku pun memesan hidangan keropok lekor itu. Yang harganya tertera RM5.00 lebih kurang. 

Ternyata, itulah keropok lekor yang tidak kedekut ikan! Ku merasa gembira kerana berjaya juga menemui keropok lekor yang sedap dan bolehlah dikatakan premium dengan harga RM5.00 satu piring.

Inilah bukti bagiku yang keropok lekor ini boleh sahaja dibuat premium jika ada kehendak dari pembuatnya dan penjualnya. Ku temui bukti itu di restoran Ayam Penyet.

Keropok Lekor di Ayam Penyet. Sudah ku makan sepertiganya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...