Friday 19 September 2014

Khasiat daun sirih sebagai ubat batuk.


Saya masih diminta untuk menulis pada blog ini kali ini. Ini adalah permintaan salah seorang author blog yang meminta saya mengisi ruang waktu ketika author-author lain mempunyai urusan lain dan tidak dapat membuat sebarang penulisan untuk tempoh tertentu.

Saya sendiri tidak menjangkakan akan membuat posting kali ini. Tetapi tidak mengapalah. Saya asalnya bersetuju untuk menulis di dalam blog ini setelah melihat Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi sendiri menulis dalam blog masing-masing. 

Usia saya tidaklah berumur seperti mereka berdua. Ini seolah-olah mencabar diri saya sendiri untuk menulis di dalam blog di internet. Dengan incikposmen ini saya berpeluang untuk menyalurkan cerita saya yang tidak seberapa untuk dibaca oleh pembaca yang budiman. Saya juga berharap penulisan saya dapat memberikan manfaat kepada semua.

Pokok sirih tumbuh menjalar dan memanjat.
Saya sebenarnya tidak ada gerak untuk menulis tetapi apabila diminta saya terpaksalah memikirkan sesuatu untuk diceritakan kali ini. Apa yang boleh dikongsikan kali ini ialah khasiat daun sirih. Baru-baru ini saya membaca melalui grup whatsapp yang salah seorang dari kenalan saya dan beliau masih lagi bekerja sebagai kakitangan kerajaan sedang mengalami demam yang sangat teruk. Apa yang memburukkan lagi keadaan batuk yang dialaminya tidak mahu kebah walaupun beliau telah mengambil ubat batuk daripada hospital.

Mengetahui prekära itu, saya pun mensarankan kepadanya agar beliau mengambil daun sirih bersama-sama madu lebah. Saya mengingatkan bahawa madu lebah yang diambil bersama daun sirih itu mestilah dipastikan dahulu akan ketulenannya. Sekiranya ia tidak tulen dikhuatiri ia sebenarnya adalah air gula atau bercampur dengan bahan yang lain, yang akhirnya akan memudaratkan lagi keadaan penyakit yang dialaminya.

Hanya madu tulen disarankan.

Sebaik sahaja membaca whatsapp saya yang beliau harus mengunyah sirih bagi tujuan itu, beliau menunjukkan reaksi yang tidak menggemarinya. Beliau yang dalam kategori generasi muda tidak pernah mengunyah sirih.  Beliau bertanya bagaimana caranya memakan sirih dengan madu. Saya jawab ia perlu diletakkan di atas sirih atau dilipat dan dikunyah sirih tersebut.

Generasi terdahulu, hatta dalam tahun 1970-an dan 1980-an masih lagi dapat dilihat membudayakan menguyah sirih. Mereka mengunyah sirih ini diambil pagi dan petang seolah-olah ia adalah makanan ringan. 

Saya menjangkakan beliau tidak dapat melakukan apa yang disarankan. Mungkin kerana beliau tidak dapat menjumpai sirih tersebut kerana tinggal di kawasan bandar. Mungkin juga beliau terlalu jelek untuk memakan sirih yang rasanya seperti agak pedas. Tetapi jangkaan saya itu salah. 

Rupanya beliau mempunyai jiran yang baru diketahui oleh beliau mempunyai pokok sirih. Beliau telah memakan sirih tersebut dengan mencariknya sedikit demi sedikit sambil dicicah dengan madu. Perlu diingat, ini bukanlah kaedah yang disarankan oleh saya sebagaimana dinyatakan di atas.

Namun, atas kekuasaan Ilahi juga, beliau merasakan kelegaan yang amat sangat dari gejala batuk yang dialami sebelumnya. Keadaan demam juga turut beransur kebah. Beliau berterima kasih kepada saya atas petua ini. Seorang rakan lain kemudiannya turut menggunakan sirih dan madu untuk mengubati batuk apabila beliau balik ke kampung. 

Sebenarnya sudah ada kajian klinikal yang membuktikan khasiat daun sirih ini. Yang mana ia terbukti mempunyai khasiat untuk menguatkan antibodi. Selain daripada dikunyah ada juga yang mengambil khasiatnya dengan cara merebus lalu diminum air rebusannya. Jika dikunyah khasiatnya dapat menyerap masuk kedalam badan melalui kawasan mulut iaitu dibawah lidah dan sekitarnya. 

Anda bolehlah mencuba petua ini dan melihat keberkesannya sepertimana yang dilakukan oleh kenalan-kenalan saya seperti dikisahkan. Saya berharap petua yang saya kongsikan bersama ini memberikan faedah buat pembaca sekalian.

Pakcik incikposmen.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...