Monday 8 February 2016

Kenapa Ustaz Zamihan bersikap keras?


Dalam Islam, bersikap keras atau tegas atas landasan agama adalah dibenarkan malah dipuji. Dalam sejarah Islam, Khalifah Saidina Umar Ibnu Al-Khatab terkenal dengan sikap keras, garang dan tegas dalam menjalankan suruhan agama. Ini kerana suruhan syarak bukanlah atas hawa nafsu seseorang individu semata-mata tetapi adalah arahan atau larangan Yang Maha Mencipta alam semesta. 

Mengenai kes pertembungan di antara Dr Maza dan Ustaz Zamihan ini, ada yang mengungkit mengenai sikap Ustaz Zamihan ketika menyampaikan ceramah yang dilihat keras dan tidak "gentle".

Penulis ingin melihat apakah sebab terjadi sikap seperti ini dan apakah mesej yang ingin disampaikan Ustaz Zamihan di sebalik ketegasan, "gedebe" atau "cenge"nya beliau itu.


Sebelum itu, perlulah diingati bahawa Ustaz Zamihan adalah seorang yang beraliran Ashairah dan Maturidiah dari segi akidah serta aliran bermazhab, khususnya Mazhab Syafie yang menjadi tunggak kepada tafsiran kepada agama Islam dalam alam melayu sejak zaman berzaman. 


Aliran Ashairah dan Maturidiah dan mazhab Syafie ini adalah pegangan majoriti orang-orang melayu Islam yang dibawa masuk oleh ulama-ulama terdahulu ke tanah melayu. Ini terbukti ianya masih diajar dalam pondok-pondok agama di seluruh negara.

Selain itu, Ustaz Zamihan juga mempertahankan golongan sufi dan tariqat yang juga mempunyai pengaruh yang kuat di alam melayu.

Syarah Umm Barahin satu kitab karangan
Imam Sanusi mengenai sifat 20.
Kebanyakan penentang ilmu sifat 20 ini tidak memahami terlebih dahulu apa yang mereka
lawan. Sepatutnya mereka perlulah faham apa yang dikritik, dengan memahami itu barulah kritikan itu menjadi sah. Jika tidak kritikan itu meraba-raba dan sudah tentu tidak tepat. Cuba lihat video-video mereka, adakah itu menunjukkan mereka faham?

Modul Sifat 20. 

Secara ringkasnya, aliran Ashairah dan Maturidiah ini adalah satu modul yang menjelaskan tentang nama, zat, sifat dan perbuatan Pencipta dan sifat makhluk serta perbezaan antara keduanya. Ianya dirangkum dalam apa yang dipanggil Sifat 20 berdasarkan sifat-sifat Allah yang wajib dikenali sebagaimana dinyatakan dalil syarak. 

Apabila menguasai ilmu ini seseorang itu dapat membezakan sifat Tuhan dan sifat makhluk dalam rangka mensucikan sifat Tuhan itu daripada sifat-sifat makhluk. Kerana dalil syarak menunjukkan bahawa Tuhan itu tidak ada misalnya dengan sesuatu apa pun.

Akidah adalah fundamental dalam Islam

Islam itu adalah berdasarkan pengakuan "Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad SAW adalah Nabi dan RasulNya". Akidah dalam Islam itu adalah fundamental maka tiada mazhab dalam Islam yang mengatakan Tuhan itu lebih dari satu. Tiada mazhab juga dalam Islam yang mengatakan Tuhan itu menyerupai sifat makhluk.

Sifat kepahlawanan Ustaz Zamihan memuncak bila..

Antara kritikan keras / lantang yang dilemparkan oleh Ustaz Zamihan ialah apabila seorang ulama dan juga Tok Guru (Almarhum) juga Menteri Besar sebuah negeri yang mempunyai pengaruh politik yang kuat telah mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan kepada Allah itu "duduk bersila lendik". (Sila rujuk youtube untuk rakaman)

Dalam pandangan akidah Islam kenyataan ini adalah tersasar jauh daripada kebenaran. Ini kerana "bersila lendik" ini tidak ada dalam literal teks syarak dan apa pun fahaman Tok Guru itu, zahirnya dapat memberikan fitnah kepada fahaman orang awam yang mendengarnya. Perkataan duduk itu pula pun hanyalah terjemahan literal kepada perkataan "استواء" dan ulama-ulama di Malaysia ramai mempertikaikan mengenai keharusan menterjemahkannya secara literal kepada duduk. 

Oleh kerana kepentingan menjaga akidah orang awam supaya tidak terbabas, ramai ulama lain yang turut memberikan kritikan kepada Tok Guru ketika itu. Antaranya ialah Ustaz Kazim Elyas dan Ustaz Syed Faiz Al-Idrus (PU) (Sekadar menyebut beberapa nama).

Sebagai ahli PAS, Ustaz Syed Faiz Al-Idrus (ketika itu belum masuk PU) sanggup
menentang arus apabila mengkritik Tok Guru dalam soal ucapan yang
boleh memberikan fitnah kepada akidah umat. Seorang "ustaz" yang lain pula telah
membuat inisiatif untuk "berdebat" bagi "pacify" Ustaz Syed Faiz agar momentum politik
parti dan Pakatan Rakyat ketika itu tidak terjejas.

Tokoh yang popular, Ustaz Azhar Idrus turut mendapat kritikan Ustaz Zamihan kerana beliau "mem-backing" Tok Guru dalam ucapannya itu kerana soal akidah bukanlah boleh di"budi-bicara"kan. Kesilapan dari segi akidah boleh menyebabkan segala amalan tidak diterima kerana telah jatuh dalam kategori syirik. Membiarkan orang awam bersetuju dengan akidah yang sesat adalah satu bencana besar yang perlu dielak dengan ketegasan.

Maka tidak hairanlah Ustaz Zamihan Al-Ghari menjadi marah apabila ada agamawan sendiri yang menjadi ejen-ejen penyebaran akidah yang salah ini. Dan kemarahan beliau ini bukanlah sesuatu yang bersifat peribadi. Ada kes pertikaian yang bersifat peribadi telah pun dengan mudah diselesaikan oleh Ustaz Zamihan dan Dr Maza di dalam mahkamah. Tetapi apa yang berlaku secara keseluruhannya bukanlah soal peribadi dan ia lebih besar daripada itu.

Penentangan kepada aliran wahabi

Akidah berdasarkan fahaman literal yang membawa kepada fahaman mujassimah (Dakwa Tuhan berjisim) dikaitkan dengan aliran wahabi ini. 

Oleh itu kita dapat melihat Ustaz Zamihan begitu aktif memberikan ceramah anti-wahabi selain ceramah anti-syiah.

Beberapa petikan dari Felo Penyelidik Fatwa Jakim
"Dari segi pendekatan ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang agak sempit dengan metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam memahami sumber agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari pandangan mereka dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang yang tidak mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya telah membawa kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam dari lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi." 
Memandangkan Malaysia jelas mengambil pendirian sejak beratus tahun lalu bahawa aliran yang harus diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam akidah aliran Ash’ari dan Maturidi dan ianya telah menghasilkan perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah dan lain-lain sehingga memberi ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara, maka aliran Wahabi adalah tidak sesuai dalam konteks kefahaman dan amalan agama di Malaysia. 
Sebagai pakar dalam pemulihan ideologi pengganas dan penjenayah tegar.

Fitnah Daesh kepada umat Islam
Ideologi yang membawa kepada perbuatan pengganas / terrorisme yang telah mempengaruhi minda seseorang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipulihkan. Proses pemulihan seperti ini memerlukan ketegasan, ketabahan serta tahap ilmu agama yang tinggi bagi menghadapi golongan ini yang akan berhujah menggunakan dalil-dalil mereka sendiri mengikut fahaman kumpulan terrorist yang mereka anggotai.

Seorang pakar seperti Ustaz Zamihan mampu mengendalikan proses pemulihan seperti ini kerana sikap ketegasan dan kepakaran beliau dalam ilmu agama. Dalam kajian beliau, modul yang digunapakai untuk merekrut ahli kumpulan pengganas adalah berdasarkan fahaman wahabi atau salafi jihadi. Beliau telah menulis buku-buku bagi menjelaskan perkara ini.


73 jalan. Yang sampai hanya satu jalan.
Di zaman fitnah ini, umat semakin keliru apa itu firqah yang selamat.
Apa itu ahli sunnah wal jamaah?
Isu co-existence

Penulis sendiri merasakan pemegang mazhab-mazhab lain seperti Hanafiah yang banyak dari kalangan pekerja asing Bangladesh, India dan Pakistan tidak ada masalah menghormati pegangan masyarakat tempatan iaitu Syafie. Banyak kali mereka ini menolak untuk menjadi imam ketika waktu solat walaupun mereka lebih tua, berilmu dan lebih mengikut sunnah kerana menghormati orang tempatan yang memegang mazhab Syafie. 

Pelajar Malaysia di India pula bercerita yang mazhab Hanafiah ini tidak ada solat berjemaah selepas solat jemaah pertama sebaik sahaja qamat. Apabila mereka melihat pelajar-pelajar melayu membuat jamaah solat selepas itu, ianya dianggap bertentangan dengan amalan masyarakat setempat. 

Pihak masjid telah mendekati mereka dan memberikan tempat khusus jika melakukan jamaah selepas jamaah pertama itu. Ini bertujuan supaya amalan itu tidak terlihat kepada orang tempatan yang bermazhab Hanafi dan mungkin menimbulkan fitnah dari kalangan masyarakat setempat. Point di sini ialah mereka tidak menghalang amalan orang-orang melayu yang berpegang kepada mazhab Syafie. 

Inilah contoh co-existence sekiranya seseorang itu ahli kepada mazhab terbesar iaitu mazhab 4 yang dimaklumi muktabar di kalangan umat Islam. Masing-masing maklum akan perbezaan pandangan dan amalan berdasarkan pegangan mazhab. Masing-masing sedar bahawa pegangan orang lain dalam mazhab itu adalah sah sebagaimana mazhab yang dipegang sendiri. Maka semua ahli dalam mazhab 4 menghormati pandangan dan perbezaan amalan antara satu sama lain.




Kajian felo penyelidik JAKIM mendapati sikap toleransi ini tidak wujud pada pengikut-pengikut wahabi.
Contoh perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah pandangan mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa hadis Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak mengikuti secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap bid’ah dan terkeluar dari Islam.

Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari agama Islam oleh golongan Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai kesatuan dalam ibadat menurut pentafsiran imam-imam muktabar dalam mazhab Shafi’i dan dalam akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan al-Maturidi.
Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah diangkat dan dianggap sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan dalam masyarakat, seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah selepas solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca yasin pada malam jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama bid’ah yang sesat. Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah dan bid’ah yang sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan semangat ilmiah dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan dalam persoalan khilafiah.
Oleh itu seruan daripada kumpulan wahabi atau pun sesiapa jua yang menyerupai amalan wahabi supaya bertoleransi di antara satu sama lain perlulah dibuktikan oleh kumpulan itu terlebih dahulu. Perlulah dimaklumi dan dihormati apa yang menjadi pegangan majoriti dan dominan masyarakat melayu yang menjadi faktor kesatuan dan keharmonian umat.

Umat Islam pula perlulah sedar bahawa akidah adalah fundamental dan perlu dititik beratkan. Kerana tauhid yang benar adalah jaminan untuk diterima amalan sedangkan fahaman syirik pula adalah punca segala amalan baik tertolak. Bagi mempertahankan akidah yang benar berlandaskan ahlu sunnah wal jamaah (golongan yang terselamat) pula memerlukan ketegasan dari kalangan ulama-ulama dalam negara. 

Sumber
Felo penyelidik JAKIM - Pandangan mengenai golongan wahabi.

Keywords
Ektremisme agama di Malaysia : Satu Perbincangan
Debat Ustaz Zamihan Dr Asri / Dr Maza 
Diskusi ilmiah salafi wahabi jihadi
Maza vs Zamihan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...