Thursday 9 July 2015

Puasa Yang Berkualiti Sebagai Perisai

“Puasa adalah perisai (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).” (Riwayat Tirmidzi). “Puasa itu adalah perisai yang dapat melindungi diri seorang hamba dari api neraka” (Riwayat Ahmad).
Hanya Puasa yang Berkualiti Menjadi Perisai 
Puasa yang berkualiti, mempunyai nilai dan bermutu, ialah puasa yang dijaga dengan berdisiplin dan di jaga pantang larangnya dengan menjaga mata, telinga, kaki, tangan dan seluruh anggota daripada melakukan perkara yang dilarang. 
Puasa yang berkualiti ialah puasa yang dijaga pantang-larang dan disiplinnya. Terdapat dua kategori disiplin (pantang larang) dalam ibadat puasa iaitu disiplin fizikal dan dispiplin spiritual.
1) Disiplin Fizikal – menahan diri dari makan, minum dan melakukan seks disiang hari.
2) Disiplin Spiritual (Rohani) – menahan diri dari perbuatan keji seperti:-
a) Menjaga mulut dari bercakap benda yang dilarang, mengumpat,
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
b) Menjaga mata dari melihat benda yang dilarang. 
Melihat dengan nafsu membatalkan pahala puasa. (Hadith daripada Anas)
c) Menjaga telinga dari mendengar benda yang dilarang seperti umpatan, muzik.
d) Menjaga anggota lain dari sebarang perkara mungkar, kaki dari menuju ke tempat maksiat.
Sah puasa jika kita hanya menjaga disiplin “fizikal” sahaja, cuma tidak berpahala. Lagipun Nabi menyuruh kita agar menjaga kedua-dua disiplin fizikal dan spiritual puasa.
Puasa yang Rugi (Tidak Berkualiti)
Ramai orang yang berpuasa tapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)
Bagaimana Puasa Menjadi Perisai Kejahatan?
Puasa Ramadhan adalah benteng atau perisai yang boleh menghalang dan memagari manusia daripada melakukan keburukan di dunia. Secara mudahnya apabila seseorang itu tidak makan dan minum, dia akan keletihan dan tidak berupaya melakukan kejahatan. Namun hanya puasa yang mempunyai “nilai” mampu mengawal manusia daripada melakukan perkara yang tidak baik.
Bagaimana Puasa Menjadi Perisai Neraka?
Puasa yang baik juga dapat menghalang manusia daripada memasuki neraka. Apabila berada di Padang mahsyar, setiap amalan akan ditimbang dan ada yang akan muflis di sana kerana amalannya dituntut disebabkan hutang yang belum dibayar. Ada yang muflis kerana pahalanya tidak mencukupi untuk membayarnya lalu terpaksa menanggung dosa orang yang menuntutnya. Maka di sinilah pahala puasa menjadi perisai kerana Allah s.w.t. sendiri yang membalas pahala puasa yang berkualiti dan timbangan pahala puasa yang berkualiti akan diberatkan. Pahala puasa yang bermutu itu amat besar nilainya dan hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu nilainya. Malaikat hanya merekodkan samada puasa dilakukan atau tidak dan mereka tidak mengetahui nilai pahala puasa yang dilakukan itu.

Sumbernasbunnuraini.wordpress.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...