Thursday 2 July 2015

Petronas vs Pertamina ( Review mid-2015 )

Lakaran Pertamina Energy Tower

Persoalan Petronas vs Pertamina bukan sahaja terkait dengan perbandingan diantara dua perusahaan yang didukung oleh kerajaan dua negara berjiran dan serumpun, tetapi ia adalah lebih dari itu. Perbandingan ini adalah simbol kepada hubungan di antara dua beradik yang mempunyai hubungan menaik dan turun.


Ia juga sangat terkait dengan sentimen nasionalisme dari dua negara ini. Ini lebih menjurus kepada Indonesia yang mana sentimen itu sangat memainkan peranan dan memberi impak kepada hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia. Contohnya, sentimen nasionalisme dan anti-Malaysia yang dimainkan pihak tertentu telah memberikan impak negatif kepada beberapa produk utama negara seperti stesyen minyak Petronas dan produk Proton di Indonesia.




Semangat Indonesia dengan Pertaminanya bagi mengejar dan mengatasi Petronas adalah mengkagumkan dan pada yang sama aneh serta menarik untuk diperhatikan. Indonesia meletakkan Petronas sebagai benchmark utama. Seolah-olah tiada benchmark lain yang lebih penting hatta Shell sekalipun. Tetapi adakah ini sebenarnya sesuatu yang menghairankan?


Sentimen melalui penceritaan murid mengalahkan guru sentiasa sahaja dijual di dalam mana-mana penulisan media di Indonesia bagi menggambarkan betapa Indonesia mengambil berat terhadap perusahaan gas negara itu dan sentiasa mencari jalan untuk menaikkan Pertamina setanding atau mengatasi Petronas.

Artikel pertama Incikposmen mengenai Petronas dan Pertamina telah disiarkan pada 18 Ogos 2014. Artikel tersebut boleh diakses di sini.

Pada ketika itu "aura kerja" CEO Pertamina, Karen Agusetiawan, yang baru setahun dilantik semula dalam 2013, telah berjaya memacu syarikat tersebut sehingga tersenarai dalam Fortune 500 di tempat ke 122 buat kali pertamanya.

Namun demikian, beliau telah meletakkan jawatan dalam bulan Ogos itu juga. Besar kemungkinan ianya ada kaitan dengan rungutan beliau untuk mendapatkan kebebasan melabur ataupun melakukan investasi bagi Pertamina tanpa dipertanggungjawabkan dengan risiko pelaburan tersebut. 

Ini jelas apabila beliau merujuk kepada Tan Sri Shamsul Azhar Abas, CEO Petronas ketika itu yang difahaminya telah diberikan kebebasan oleh kerajaan Malaysia untuk “gamble” dalam pelaburan Petronas.

Sudah tentu, Indonesia sebagai negara yang kaya dengan sumber manusia tidak kekurangan individu tempatan yang layak menjawat CEO Petronas. Ketika artikel ini ditulis, Dwi Soetjipto memegang jawatan tersebut menggantikan Karen Agusetiawan. 



Dwi Soetjipto adalah seorang tokoh korporat yang mempunyai latarbelakang dan pengalaman luas dalam bidang korporat. 

Sementara itu bagi Petronas pula, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin pula kini menjawat CEO Petronas. Beliau sebelumnya menjawat Chief Operating Officer bagi Petronas.

Indonesia sudah belajar daripada kesilapan. Rakyat mereka sudah kurang obses dengan demontrasi menjatuhkan pemerintah yang banyak merugikan negara. Yang mengakibatkan kekacauan yang merosakkan ekonomi dan pentadbiran yang memakmurkan. Namun demikian bukanlah semua rakyat Indonesia itu mudah berubah. 

Indonesia kini merasakan sesuatu suasana yang positif di bawah pemerintahan Presiden Jokowi. Yang dilihat bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi Indonesia dan mampu membawa negara itu  ke tahap yang lebih tinggi.

Malaysia pula ketika ini seolah-olah mula berjuang dengan krisis keyakinan. Mungkin juga akibat daripada beberapa perkara besar yang berlaku kepada negara yang memberi kesan kepada ekonomi seperti kejadian MH370, banjir besar dan suasana politik.

Contohnya, perlantikan CEO Malaysia Airlines dari kalangan warga asing menunjukkan tanda-tanda itu. Bermacam persoalan yang belum terjawab atas alasan apakah ianya dilakukan. Ianya bukanlah satu petanda yang positif bagi sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju ketika tahun 2020.

Adakah kemajuan itu hanya tercapai dengan infrastruktur semata-mata tanpa kemajuan sumber manusia dari ilmu pengetahuan dan keupayaan? Dikhuatiri jika fenomena ini bakal menjadi satu trend, maka ianya akan merencatkan pembangunan modal insan dalam negara yang perlu didedahkan kepada dunia pekerjaan yang mencabar.

Sedangkan Indonesia pula dengan semangat nasionalisme yang tinggi terus mensasarkan jauh kehadapan. Pertamina telah merancang untuk membina sebuah menara yang lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas. Dinamakan sebagai Pertamina Energi Tower. Yang mana ianya bakal menjadi menara yang tertinggi di Indonesia dengan 99 tingkat dan 530 meter tinggi.
Namun demikian, semangat yang berkobar-kobar “garuda di dadaku” itu diperlahankan sedikit kerana terpaksa ditunda sementara setelah upacara pecah tanah dilakukan dalam tahun 2014. Alasan penundaan itu adalah dikatakan untuk memberikan fokus kepada pelaburan.

Sudah tentu usaha berlumba-lumba mengejar kemajuan di antara Petronas dan Pertamina ini melalui proses turun naiknya. Begitu juga dengan pasang surut hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. 

Cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara serumpun, sejiran dan seperti kata Bapak Jusuf Kalla “bersahabat”, ialah bagaimana untuk memajukan bangsa negara masing-masing dengan sama-sama memakmurkan antara satu sama lain. 

Jika ini dapat dilakukan sudah pasti kedua-dua negara akan mencapai satu tahap yang dicemburui oleh negara-negara lain. Tetapi jika sebaliknya, yakni perbezaan dan permusuhan yang dicari, ianya hanya mendatangkan kerugian kepada kedua-dua negara. 

Buatlah pilihan anda.

2 comments:

  1. itulah namanya perniagaan encik. ada untung, ada rugi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yup.. definitely.. Semoga maju jaya Petronas..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...