Thursday 16 July 2015

Makna dan Maksud Aidul Fitri dan Makna Tersirat Daripadanya.

Besok nak raya. Kita sedang dan akan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua orang Islam.

Ada yang menyebutnya Aidil Fitri, dengan "i" selepas "d". Ada yang menggantikan "i" dengan "u" maka jadilah Aidul Fitri.

Sebab rumi melayu bukan bahasa arab maka tak perlulah peraturan tatabahasa arab dikenakan. Kiranya dua-dua pun bolehlah. 

Sebenarnya "i" dan "u" itu berubah-ubah mengikut dimana kalimah terletak dalam ayat bahasa arab. Kalau sebut dalam ayat bahasa melayu, tak perlulah macam tu. 


Sekarang ini kita hendak tengok apa makna Aidul Fitri. Dalam bahasa Indonesia disebut Idul Fitri. Ada juga yang gunakan Eid. Biasanya dalam bahasa inggeris. Dalam bahasa arab kalimahnya adalah "عِيْدُ الْفِطْرِ".
عِيْدُ (Aid / Id / Eid) bermakna hari perayaan. 
الْفِطْرِ (Fitri) pula bermakna berbuka puasa. Yang biasa kita panggil iftar itu. Dia berasal daripada perkataan فطر


Kedua-duanya membawa maksud satu hari perayaan yang diraikan setelah kita berpuasa iaitu bulan ramadhan. Dengan hikmah itulah pada hari itu kita diharamkan berpuasa. 

Itu adalah makna yang dipersetujui. 


Tetapi disebalik ungkapan عِيْدُ الْفِطْرِ ini ada juga satu maksud yang lain. Maksud ini bolehlah dikatakan dipertunjukkan secara isyarat dan bukannya dari persetujuan pakar-pakar bahasa arab mengenai makna tersebut. 

عِيْدُ الْفِطْرِ ini juga memberikan isyarat kepada kepulangan insan kepada sifat fitrah. Kerana insan itu diciptakan asalnya dari fitrah. Kemudiannya keadaan sekeliling seperti ibu-bapalah mula membentuk dan mencorakkannya dari fitrah asal tersebut. Oleh itu ada yang bertambah baik dan meningkat dan ada yang berkurang dari fitrah asal.

Ada pendapat عِيْدُ juga berasal daripada pecahan kalimah عَادَ يَعِيْدُ yang mana membawa maksud pulang.


الْفِطْر itu dari فطر yang berkongsi asal juga dengan perkataan fitrah. Fitrah yang kedua ini membawa makna-makna berikut;



1. Ugama
2. Sunnah
3. Kejadian
4. Semulajadi / sifat asal / fitrah

Melalui sebulan Ramadhan, insan itu melatih diri dengan meninggalkan makanan dan minuman serta nafsu syahawat. Latihan yang mendidik nafsu dan keakuan (ego) daripada apa yang sangat disukakannya. Latihan mengekang nafsu inilah yang menjadi asas kepada kembalinya insan itu kepada fitrahnya.

Kerana nafsu insan itu sangat tertarik kepada materi duniawi yang menggodanya dan juga godaan-godaan yang lain yang bukan berbentuk material. 

Contohnya rasuah duit berlaku apabila insan itu sangat menghendaki manfaat duit walaupun dia tahu duit seperti itu adalah duit "panas" dan tidak bawa berkat. Kepuasan sementara mendapat duit di tangan itu lebih diutamakan daripada hakikat duit itu dan akibat yang dihadapinya. 

Keseronokan sementara ini hanyalah seakan-akan ilusi fatamorgana di padang pasir di hari yang panas terik. Latihan ramadhan yang dijalani mendidiknya untuk meninggalkan kecenderungan seperti ini. Insan dapat membiasakan diri untuk memilih pilihan yang lebih unggul dan yang lebih memberikan manfaat kepadanya. Dalam kes di atas, insan menolak rasuah dan memilih untuk menjadi amanah dan jujur dalam menjalankan urusan duniawi.

Latihan ramadhan itu bukanlah terhad kepada di atas sahaja tetapi merangkumi pelbagai aspek kehidupan yang melengkapi. Setelah menjalani latihan dan diri menjadi lebih mantap maka layaklah insan itu dikatakan telah kembali kepada fitrah asalnya. Fitrah yang bersih dan secocok dengan tujuan asal penciptaan manusia itu. 

Oleh itulah kita sentiasa mendengar dan membaca ucapan minal Aidin wal Faizin ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kemudiannya akan diikuti dengan perkataan insyaAllah.

Makna dan maksud minal Aidin مِنَ العَائِدِيْنَ  َadalah "dari kalangan orang-orang yang kembali". Manakala makna dan maksud wal Faizin وَ الفَائِزِيْنَ pula ialah "dan dari kalangan orang-orang yang beroleh kemenangan". 

Kembali juga bermakna bertaubat. Setelah bertaubat itulah kita memperolehi kejayaan / kemenangan.

Kejayaan dalam memperolehi ganjaran iaitu sifat-sifat yang lebih baik dan juga kelepasan daripada sifat-sifat yang buruk. Yang mana pencapaian tertingginya ialah mendapat balas syurga dan terhindar daripada azab api neraka. Itulah sebenarnya kebahagian yang hakiki. Yang kita semua mencarinya.


تَقَبَّلُ اللهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
FI KULLI AAMIN WA ANTUM BIKHOIR
MINAL AIDIN WAL FAIZIN
INSYAALLAH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...