Friday 10 July 2015

Lagi Posting Pasal Proton - Seribu Satu Sebab Kenapa Membeli Kereta Proton


Seorang rakan aku mengatakan dia pelik kenapa orang beriya sangat menyukai atau menyokong Proton. Ada itu sampai taksub katanya. Lepas tu dia tanya pulak aku, adakah aku juga jenis macam tu?

Ketika itu aku bersama dengannya ketika dia memandu keretanya yang sejenis kereta dari brand Jepun. Persoalan sekarang siapa yang pelik terhadap siapa sepatutnya. 

Mari kita buat analisa ringkas terhadap apa yang berlaku di sini.

Aku mengandaikan dia merasa pelik sebab rakan aku ini datang daripada kelompok yang hanya memakai atau membeli kereta-kereta bukan buatan Malaysia. Nak kata macam elit pun tak tahulah. 

Elit sangat ke kereta-kereta tu? Sebab aku pun mampu beli sebenarnya. Aku bukanlah orang banyak duit, cuma aku ada duit untuk membeli kereta yang menjadi keperluan. Aku sendiri bukan kelompok elit.

Dia merasa pelik sebab dia dah lama bergaul dengan kelompok macam tu dan mempunyai pandangan yang sama terhadap Proton. Tu sebab dia pelik bila berjumpa kelompok yang berpandangan lain.

Kalaulah hendak aku jawab sehingga ke tahap sarkastik yang membunuh, aku akan jawab kepadanya begini. 


Kalau aku orang Jepun dan tinggal di Jepun sudah pasti aku akan menyokong kereta Jepun, walaupun kereta Mecedes, Chevrolet, Volvo, Fiat atau Austin Martin masuk ke Jepun dengan harga yang sama atau tak jauh berbeza. Walaupun dengan kualiti yang lebih atau berkali ganda lebihnya.

Sarkastik itu akan lebih tajam kerana hakikatnya itulah yang berlaku di Jepun. Cuma aku tak pasti pulak apa kereta Eropah yang cuba masuk ke Jepun ketika itu, tetapi rakyat Jepun tetap menyokong kereta buatan tempatan sehinggalah kereta buatan luar tidak laku di Jepun.

Jawapan tambahan aku pula macam ni. (Walaupun tiada soalan tambahan)

Jika orang-orang Jepun seperti itu tinggal dan hidup di Malaysia serta menjadi warganegara Malaysia. Percaya atau tidak kalau aku katakan mereka tidak akan membeli kereta buatan Jepun. Sebab kalau bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung itu namanya Tanah Melayu, maka itulah negara yang perlu ditaati dan berbakti kepadanya. 

Formulanya mudah sahaja. Kalau orang Jepun memperlakukan kereta bukan buatan Jepun di negaranya seperti itu, maka dengan sifat yang sama juga akan terjadi jika orang Jepun itu duduk dan menjadi warganegara Malaysia. Bukan warganegara Jepun. Ini melihat kepada sifat semulajadi bangsa itu. 

Dan tak perlulah aku tambah atas kenapa aku yakin dengan kenyataan di atas.

Satu pertanyaan membunuh hendak aku lontarkan di sini. Perlu ke kita mengimport rakyat Jepun untuk menjadi warganegara Malaysia kalau kita nak menjayakan sesuatu industri dalam negara?  Macam kita import pemain bolasepak Jepun?

Aku bukanlah nak mengatakan tak setuju langsung beli kereta bukan buatan tempatan. Aku yang cakap macam ni pun mungkin satu hari beli produk brand Jepun tu jugak. Sebab tak semua jenis kenderaan dapat ditawarkan oleh pihak Proton. 

Kalau nak beli lori 5 tan, Proton belum ada lagi. SUV dan Pick Up Truck (Yang 5 seaters), Proton belum ada lagi. Benda-benda macam ni jika dah sampai keperluan membelinya, kenalah ending dengan produk buatan negara lain.

Ucapan sempena 30 tahun Proton
dan Tandatangan dari "CEO" Proton.
Sehinggakan kalau ada produk yang Proton tawarkan pun, mungkin spesifikasinya tidak seperti yang kita inginkan. Oleh itu orang akan membeli kereta yang dia fikirkan berkualiti, praktikal dan sesuai dengan keperluannya.

Macam rakan aku tadi. Yang membezakannya ialah macamana dia boleh jadi pelik tu. Sedangkan dia bukan bangsa jepun tetapi orang melayu yang hidup di Malaysia. 

Pelik tak kalau di stadium bolasepak tiba-tiba rakan kita bertanya kenapa orang beriya-iya menyokong pasukan Malaysia?

Iriz - Kereta Kompak, Produk Terkini.
Hal-hal lain sebagai pertimbangan untuk membeli kereta Proton. (Bukan logik untuk golongan elit)

1) Secara peribadi aku mendapati ada penjual kereta bukan buatan tempatan menganggap rakyat Malaysia yang membeli kereta yang bukan keluaran tempatan ni orang banyak duit. Tak pun orang elit. 

Kalau betul elit tak apalah kan, tapi kalau cukup-cukup nak bayar duit kereta tu dan bayar bulan-bulan saja tapi tak mampu untuk bayar spare part, kenalah fikir balik. Ada kereta bukan Mercedes tapi spare partnya sama harga macam spare part Mercedes. Baik beli Mercedes terus kan?

Di sini sebab kenapa beli kereta Proton. Senang nak dapat spare part dengan harga yang berpatutan. Di sini sebenarnya ada sejenis "peace of mind".

2) Proton mampu menawarkan spesifikasi dan aksesori yang banyak dalam satu model kereta berbanding dengan model kereta yang brandnya lebih gah tetapi dalam dan luarnya macam "kosong".

3) Kalau ada problem, setiap negeri dan hampir setiap bandar dalam Malaysia ni ada servis centre. Senang je nak hantar.

4) Anda tak perlu tunggu spare part berbulan-bulan. Spare part mudah didapati. Kalau menunggu pun tidak lama.

5) Ramai mekanik yang tahu sistem kereta Proton. Senanglah nak dibaiki. 

6) Banyak stok, tak perlulah menunggu atau berebut sangat.

7) Bila dah banyak yang pakai, ramailah kawan dan kalau ada masalah senang nak rujuk kepada kelab-kelab model kereta Proton tertentu.

8) Buatan Malaysia. Mungkin yang ini susah difahami oleh sesetengah rakyat. Sila bertapa di Gunung Ledang bagi mendapat pencerahan. 

Tak dapatlah nak senaraikan semua seribu satu sebabnya. Panjang menjela pulak posting ini nanti. Seribu satu itu biarlah wujud dalam fikiran sahaja. Sebab memang banyak pun alasan-alasan tu. Fikirlah sendiri.

Ok terima kasih kerana membaca entry kali ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...